Metabolisma

Kadar metabolisma dan penurunan berat badan amat berkait rapat. Kadar metabolisma yang tinggi akan membantu kita turun berat badan dengan lebih cepat. Manakala kadar metabolisma yang rendah akan memberikan keputusan yang mengecewakan.

Pengetahuan tentang kadar metabolisma badan kita akan membantu kita capai target untuk turunkan berat badan.

Definisi mudah bagi kadar metabolisma ini ialah, kemampuan badan kita untuk membakar kalori yang kita makan dan minum. Lebih banyak kalori yang dibakar berbanding yang kita makan, maka lebih banyak penurunan berat badan akan berlaku.

Jika kalori yang masuk ke dalam badan kita lebih banyak daripada yang badan kita mampu bakar, maka berat badan kita akan naik kerana kalori berlebihan ini akan disimpan dalam sel lemak.

 

Cara Kira Kadar Metabolisma

Cara yang paling mudah tetapi tidak berapa tepat ialah dengan mengikut formula berikut;

Lelaki: Berat badan dalam KG X24 (kcal)

Wanita: Berat badan dalam KG X23 (kcal)

 

Penentu kadar metabolisma

Ada beberapa sebab utama yang mempengaruhi kadar metabolisma seseorang. Ada faktor yang boleh kita kawal dan ada faktor semulajadi yang tidak boleh kita kawal. Antara faktor yang boleh saya senaraikan ialah;

  1. Saiz badan……badan yang besar bermakna kadar metabolisma kita tinggi. Ini adalah kerana apabila badan kita besar, ada banyak sel yang perlu dijaga dan diberikan makanan, maka akan lebih banyak kalori yang diperlukan badan berbanding orang yang kecil atau kurus.
  2. Berat badan……lebih berat badan kita, maka lebih banyak kalori yang akan dibakar. Ini adalah kerana, untuk seseorang yang beratnya 100kg bergerak, berbanding yang 50kg, individu dengan berat 100kg memerlukan tenaga yang lebih banyak untuk mengerakkan badan yang berat.
  3. Peratusan lemak dan otot……1kg lemak hanya membakar sekitar 4 kalori, manakala 1kg otot akan membakar sekitar 31 kalori. Inilah sebabnya, lelaki mempunyai tahap metabolisma yang lebih tinggi berbanding wanita.
  4. Kandungan hormon……ada beberapa hormon dalam badan yang mempengaruhi kadar metabolisma. Ada yang boleh meningkatkan dan ada yang boleh menurunkannya.
  5. Umur……semakin kita berumur, semakin banyak otot yang mengecut jika kita tidak memberikan makanan (protein) kepadanya dan juga kita tidak stimulasi (senaman) otot-otot kita maka ia akan mula mengecil. Saiznya yang kecil bermakna jisim otot kita juga akan menurun.

 

Penyebab turun kadar metabolisma

Dalam kita menjalani diet, perkara yang kita tak mahu berlaku ialah penurunan kadar metabolisma. Berikut adalah beberapa perkara yang menyebabkan penurunan kadar metabolisma;

  1. Pengambilan kalori yang terlalu rendah……jika berat kita 100kg, kita biasanya perlukan sekitar 2300-2400 kalori seharian untuk badan kita berfungsi. Bayangkan jika tiba-tiba kita hanya membekalkan badan kita dengan kalori sebanyak hanya 700-800 kalori seharian. Badan kita akan bertindak balas dengan kekurangan drastik ini dengan mengurangkan kadar metabolisma badan kita. Cara terbaik ialah kita kurangkan sekitar 10-20% sahaja pengambilan kalori agar badan kita tidak “terkejut”.
  2. Senaman yang keterlaluan……apabila badan kita didera, otot kita akan mula “terhakis” dan ia perlukan protein untuk membaiki sel otot yang rosak ini. Namun, jika pengambilan protein kita terlalu rendah, otot sebaliknya akan mengecut menyebabkan kadar metabolisma kita menurun. Selain itu, badan kita juga akan mula mengimbangi keadaan pengunaan kalori yang terlalu tinggi dengan menyelaras badan supaya mengunakan kalori pada kadar yang rendah untuk pergerakan yang berat. Jika dahulu kita guna 1 kalori untuk 7 langkah, badan kita akan menyelaras hanya mengunakan 0.5 kalori untuk langkahan yang sama.
  3. Penyakit……ada penyakit yang boleh menyebabkan penurunan kadar metabolisma. Antaranya ialah thyroid. Penyakit ini dengan jelas menyebabkan penurunan kadar metabolisma yang agak ketara.

 

Cara meningkatkan kadar metabolisma

Dengan kadar metabolisma yang tinggi, kita akan menjadi lebih bebas untuk makan dan minum. Inilah keadaan ideal yang kita mahukan, kerana kadar metabolisma tinggi biasanya akan memberikan kita keadaan fizikal yang lebih menarik dimana setiap kalori yang kita ambil akan dibakar setiap hari.

Cara untuk kita tingkatkan metabolisma adalah dengan memperkuatkan otot kita. Lebih kuat otot kita maka lebih tinggilah kadar metabolisma kita. Untuk kuatkan otot;

  • Senaman……senaman akan stimulasi otot. Otot akan menjadi kuat dan biasanya berat otot akan meningkat.
  • Pengambilan protein yang cukup……untuk panduan, kadar protein yang badan kita perlukan ialah sekitar 1g untuk setiap KG berat badan kita. Namun, jika kita senaman secara konsisten, badan kita perlukan sehingga 2g setiap KG berat badan. Protein yang cukup akan memastikan jisim otot kita bertambah ataupun kekal kerana makanan otot ialah protein. Sumber protein juga perlu 25% dari unsur haiwan (susu, daging) manakala 75% lagi mesti datang dari tumbuhan.

Selain itu, kita perlu menjaga jadual pemakanan kita dan kita mestilah memilih makanan yang berkhasiat. Jadual makan yang tidak menentu akan mempengaruhi kadar metabolisma kita. Biasanya kita amalkan makan setiap 6 jam dengan pengambilan makanan sampingan (buah contohnya) di antara makanan ini.

Jika boleh, kita makan setiap 3 jam dengan saiz hidangan yang lebih kecil.

 

<<<Turunkan 10KG dalam 30 hari tanpa rosakkan kadar metabolisma anda>>>

September 25, 2010 · admin · No Comments
Tags: , , , ,  · Posted in: Pengurusan Berat Badan